Polis Sahkan Dua Pelajar Maut Jatuh Kondominium, Siasat Dakwaan Buli

22/08/2025 10:21 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus mengesahkan dua insiden melibatkan pelajar institut pendidikan tinggi swasta di Setapak yang terjatuh dari sebuah kondominium di Persiaran Pertahanan, Taman Melati di sini pada Rabu lepas.

 Beliau berkata dalam insiden pertama pada 6.48 pagi, seorang pelajar wanita berusia 22 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat 22 dan ditemukan di tingkat lapan kondominium itu sebelum disahkan meninggal dunia.

“Bedah siasat mendapati punca kematian adalah pelbagai kecederaan yang dialami akibat terjatuh dari tempat tinggi... pemeriksaan di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Pada 1.57 tengah hari, ibu mangsa yang berusia 53 tahun hadir membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan kejadian itu dan mendakwa anaknya menjadi mangsa buli… ,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata dalam insiden kedua pada 9.35 malam, seorang lelaki berumur 21 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat 35 blok dan ditemukan di bahagian belakang kondominium itu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Hasil bedah siasat juga mendapati punca kematian adalah pelbagai kecederaan yang dialami akibat terjatuh dari tempat tinggi dan tiada unsur jenayah dikesan... kes turut diklasifikasikan sebagai SDR,” katanya sambil menambah siasatan mendedahkan kedua-dua mangsa belajar di kolej swasta yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan