KOTA BHARU, 26 Ogos (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai produk kosmetik bernilai lebih RM500,000 dipercayai cuba diseludup ke negara ini dalam Op Taring Wawasan di kawasan pangkalan haram Kebun, dekat Pengkalan Kubor, Tumpat semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata sepasukan anggota yang sedang meronda pada 1.45 tengah hari telah mengesan dua lelaki sedang memindahkan kotak dari sebuah perahu ke dalam sebuah kenderaan.
Beliau berkata pemandu kenderaan yang merupakan lelaki tempatan berusia 63 tahun telah ditahan dalam operasi itu manakala dua lagi suspek sempat melarikan diri ke Thailand selepas menyedari kehadiran polis.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 15 kotak berisi lebih 5,000 unit produk kosmetik yang disyaki buatan negara jiran.
“Produk berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM511,000. Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Kastam Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) negeri memandang serius kegiatan pengedaran dan penjualan produk farmaseutikal tidak berdaftar termasuk kosmetik tidak bernotifikasi.
“Sejak 2023 hingga Ogos 2025, CPF Kelantan telah melaksanakan 185 serbuan dengan nilai rampasan keseluruhan RM2.1 juta melibatkan 190 jenis produk kosmetik. Sebahagian besar rampasan kosmetik di sempadan adalah hasil kerjasama dan serahan daripada PGA,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata memiliki atau menjual produk kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM adalah kesalahan di bawah Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun boleh dikenakan, manakala bagi syarikat pula denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan.
“Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dan memastikan hanya membeli produk kosmetik yang mempunyai notifikasi KKM demi keselamatan kesihatan pengguna,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial