JOHOR BAHRU, 26 Ogos (Bernama) -- Dua pengawal keselamatan didakwa di dua Mahkamah Majistret sini hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis dan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki dengan memaksa mangsa menyerahkan wang RM2,000 pada Khamis lepas.
Mohamad Syafiq Zakaria dan Mohamad Sulaiman Ab Rahman, masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam dan Atifah Hazimah Wahab.
Untuk pertuduhan pertama, kedua-dua didakwa menyamar sebagai polis ke atas seorang lelaki dan seorang wanita berusia 20 tahun dan mengarahkan mangsa keluar dari kereta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Betik 1, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, kira-kira 11.30 malam pada 21 Ogos lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula di hadapan Atifah Hazimah, kedua-dua lelaki itu didakwa mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki dengan tujuan hendak melakukan pemerasan sehingga mangsa mengalami kerugian RM2,000.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Jalan Duku 14, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, pada tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua kesalahan dan menetapkan 12 Sept depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif dan Nik Noratini Nik Azman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial