Lim Guan Eng Terima Dua Beg Hitam Berisi Wang RM2 Juta - Saksi

27/08/2025 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Saksi utama dalam kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau sendiri yang menyerahkan dua beg hitam berisi wang berjumlah RM2 juta kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Ahli perniagaan, Datuk Seri G. Gnanaraja, 44, berkata beliau menerima dua beg terbabit masing-masing berisi wang RM1 juta daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) di Hotel Eastin Petaling Jaya pada 18 Ogos 2017 untuk diserahkan kepada Lim.

"Selepas saya menerima dua beg hitam berisi wang berjumlah RM1 juta setiap satu, saya telah menyimpan beg-beg itu di dalam bilik kerja saya. Satu beg telah saya keluarkan pada 20 Ogos 2017 dari bilik kerja saya untuk dibawa dan diserahkan kepada Lim semasa menghantar beliau ke Publika, Hartamas.

"Lim telah mengambil beg berkenaan dan selepas itu menepuk bahu Zarul Ahmad yang berada di tempat duduk pemandu. Saya merasakan beliau (Lim) menepuk bahu Zarul Ahmad adalah tanda ucapan terima kasih atas pemberian beg berisi wang RM1 juta itu,” kata Gnanaraja.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang membabitkan Lim.

Gnanaraja berkata beliau telah mengeluarkan satu lagi beg hitam berisi RM1 juta daripada bilik kerjanya dan meletakkan ke dalam kereta Bentley berwarna hitam miliknya pada 10 malam, 28 Ogos 2017 selepas menerima pesanan ringkas daripada Zarul Ahmad.

Menurut Gnanaraja, selepas mengeluarkan beg tersebut daripada bonet keretanya, beliau telah menyerahkan begi itu kepada Lim yang datang ke rumahnya pada 29 Ogos 2017 lebih kurang 2 hingga 3 pagi, sebelum Lim memasuki kereta dan duduk di tempat duduk belakang.

"Lim menyambut beg yang diserahkan oleh saya dengan menggunakan tangan kanan sambil tersenyum. Selepas Lim mengambil beg itu beliau terus masuk ke dalam kereta dan meletakkan beg tersebut di atas ribanya.

"Pada masa itu, Zarul Ahmad duduk di tempat duduk penumpang hadapan. Kenderaan yang dinaiki oleh Lim dan Zarul Ahmad kemudian beredar dari kediaman saya. Saya tidak tahu hala tuju mereka selepas itu," katanya.

Dalam pada itu, Gnanaraja berkata sebelum menyerahkan beg tersebut kepada Lim, mereka telah membuat perbincangan sulit lebih kurang sejam mengenai perjalanan, penerimaan serta pengeluaran kewangan projek terowong pada hari yang sama (29 Ogos) di kediaman Gnanaraja.

“Dalam pengetahuan saya, nilai projek terowong yang dianggarkan adalah berjumlah RM6.3 bilion. Lim ada sebut 10 peratus daripada keuntungan projek berjumlah RM6.3 bilion itu adalah untuk Lim sendiri. 

"Lim juga ada menceritakan persetujuan Zarul Ahmad terhadap permintaannya berkenaan 10 peratus daripada keuntungan projek itu," kata Gnanaraja.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan