Pekerja Maut Jatuh Dari Tempat Tinggi Di Kilang Kertas

27/08/2025 05:31 PM

NIBONG TEBAL, 27 Ogos (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang pekerja subkontraktor yang terjatuh dari tempat tinggi semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan panel solar di sebuah kilang kertas di sini semalam.

Pengarah JKKP Pulau Pinang Hairozie Asri berkata dalam kejadian 12.15 tengah hari itu, lelaki tempatan berusia 21 tahun itu terjatuh dari bumbung lut sinar pada ketinggian 9.14 meter (30 kaki) di ruang pemunggah di kilang tersebut.

"Mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Sungai Bakap, sehubungan itu JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan Notis Larangan kepada pihak-pihak terlibat dan mengarahkan memberhentikan aktiviti kerja sehingga tindakan pembetulan dibuat.

"JKKP Pulau Pinang juga akan menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian dan tindakan perundangan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang oleh pihak yang terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setiap majikan dan kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya memastikan sistem kerja selamat disediakan, dinilai dan dipatuhi sebelum pekerja diarahkan menjalankan kerja berisiko tinggi.

Katanya kegagalan berbuat demikian merupakan kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan