IPOH, 27 Ogos (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang suspek disyaki terlibat dalam kes bunuh membabitkan penemuan mayat seorang lelaki di lorong berhampiran Jalan Horley dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya telah mengenal pasti pemilik dan pemandu sebuah lori bonded atau tertutup yang terbabit dengan kes itu.
“Kejadian disedari kira-kira 6 pagi tadi apabila seorang pekerja hotel memaklumkan kepada pihak polis mengenai penemuan seorang lelaki yang lengkap berpakaian terbaring di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan serius pada bahagian kepala dan belakang badan, namun tiada dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan yang dijalankan pada rakaman litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa dikejar sebuah lori bonded berwarna putih sebelum berlaku pergelutan dengan suspek pada 4.24 pagi.
Abang Zainal Abidin berkata mangsa kemudiannya jatuh di hadapan kenderaan itu sebelum digilis dan ditinggalkan di lokasi kejadian.
Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan dada akibat perlanggaran jalan raya.
Menurut Abang Zainal Abidin, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP Mahani Mohammed di talian 019-261 8221 atau hadir ke balai polis berdekatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial