Imigresen Kedah Tahan 122 Warga Asing Di Kawasan Industri

28/08/2025 07:09 PM

ALOR SETAR, 28 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 122 warga asing dalam serbuan Operasi Mahir di sebuah syarikat di Kawasan Industri Padang Meha, dekat Padang Serai semalam.

Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata keseluruhannya sebanyak 214 individu termasuk warga tempatan diperiksa dalam operasi bermula 9 pagi itu dengan mereka yang ditahan terdiri daripada 121 lelaki dan seorang wanita pelbagai warganegara berusia antara 22 hingga 56 tahun.

“Kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Belantik untuk siasatan serta tindakan lanjut. Siasatan awal juga telah menemukan sebahagian kecil pasport warga asing yang ditahan manakala baki pasport yang lain masih belum dapat dikemukakan pengurusan syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata cop keselamatan pada kebanyakan pasport juga menimbulkan keraguan dari segi ketulenan dan ia memerlukan semakan selanjutnya melalui sistem JIM. 

“Pasukan operasi turut mengesan ketiadaan 'Letter of Agreement' (LOA) di antara syarikat pembinaan berkenaan dengan syarikat yang bertanggungjawab membekalkan pekerja. Semakan lanjut terhadap Permit Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pula mendapati permit berkenaan hanya sah bagi syarikat yang berdaftar di Kuala Lumpur dan dibenarkan oleh JIM sahaja. 

“Pihak syarikat juga gagal menyimpan sebarang dokumentasi pekerja di pejabat sumber manusia untuk tujuan pengesahan lanjut. Kita juga perlu meneliti dan menyemak rekod perjalanan pemegang pasport melalui sistem Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC), memandangkan rekod sedia ada hanya memaparkan cop keluar dan masuk tanpa butiran destinasi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ridzzuan berkata pihaknya akan meneruskan siasatan secara menyeluruh merangkumi pengesahan ketulenan pasport, semakan rekod perjalanan serta pengesahan hubungan antara majikan dan pekerja.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak didapati menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin. Pengusaha dan majikan perlu sentiasa memastikan pekerja asing yang diambil memiliki dokumen serta pas yang sah dan mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan