13 Pelajar Kolej Vokasional Dipenajara, Seorang Seumur Hidup, 12 Sebatan

28/08/2025 08:00 PM

TAWAU, 28 Ogos (Bernama) -- Seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada tahun  lepas.

Hakim Datuk Duncan Sikodol  turut memerintahkan 12 pelajar bawah umur ditahan di penjara atas perkenan Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan sama.

Beliau mengarahkan semua tertuduh menjalani hukuman bermula tarikh tangkapan pada 22 Mac tahun lepas.

Ketika kejadian, remaja yang dikenakan hukum penjara seumur hidup (30 tahun) itu berusia 19 tahun, manakala 12 yang lain berusia 16 dan 17 tahun.

Kesemua mereka disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama atas kesalahan membunuh rakan asrama mereka yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan.

Dalam penghakimannya, Duncan berkata pihak pendakwaan memohon supaya hukuman mati dikenakan terhadap remaja terbabit, namun beliau berpandangan pesalah itu wajar diberi peluang untuk berubah dan membina kehidupan lebih baik.

“Hukuman ini bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi juga amaran tegas bahawa mahkamah tidak akan berkompromi dengan tindakan kejam sebegini,” katanya.

Duncan menegaskan budaya buli, khususnya di sekolah, bukan perkara baharu namun kini semakin serius sehingga meragut nyawa.

“Kes ini menjadi peringatan pahit bahawa buli bukan isu remeh. Ia memusnahkan masa depan anak-anak dan menghancurkan harapan ibu bapa.

“Ibu bapa menghantar anak ke sekolah untuk menimba ilmu dan meraih masa depan lebih baik, tetapi ada yang pulang dengan trauma malah ada yang tidak kembali langsung. Keadaan ini mesti dihentikan. Tiada kanak-kanak sepatutnya berasa tidak selamat di sekolah atau asrama dan tiada keluarga harus menanggung tragedi sebegini,” katanya.

Jumaat lepas, mahkamah mendapati 13 pelajar berkenaan bersalah menyebabkan kematian Mohamad Nazmie Aizzat dan menetapkan hari ini untuk menjatuhkan hukuman.

Pada 28 Feb lepas, Duncan memerintahkan semua tertuduh membela diri atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di asrama bilik 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu, antara jam 9 malam, 21 Mac dan 7.38 pagi, 22 Mac 2024.

Pihak pendakwaan mengemukakan 25 saksi termasuk guru dan pelajar kolej berkenaan manakala pihak pembelaan memanggil 18 saksi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja terbabit diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang dan Kusni Ambotuwo.

— BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan