KOTA KINABALU,28 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Koroner di sini mengesahkan inkues berhubung punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, akan diteruskan seperti dijadualkan pada bulan depan.
Namun begitu, inkues yang dijadual bermula pada 3 Sept akan didengar di hadapan Koroner baharu, Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, yang menggantikan Azreena Aziz.
Azreena, yang juga merupakan Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, memaklumkan perkara itu dalam prosiding hari ini.
Beliau berkata beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan kerana menetap di Papar, lokasi sekolah agama yang dihadiri Allahyarham Zara Qairina, walaupun beliau tidak mengenali nama-nama yang didakwa terbabit dalam kes itu.
Tarikh inkues telah ditetapkan pada 3 hingga 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept dan 22 hingga 30 Sept ini.
Sebelum ini, Mahkamah Koroner membenarkan permohonan peguam yang mewakili keluarga Zara Qairina untuk diiktiraf sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues serta mendapat akses kepada semua dokumen berkaitan kes tersebut.
Selain itu, mahkamah turut membenarkan permohonan serupa daripada peguam yang mewakili lima remaja perempuan bawah umur yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu minggu lalu berhubung kes buli berkenaan.
Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus, yang akan bertindak sebagai pegawai pengendali dalam inkues tersebut.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai. Beliau sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Berikutan itu, pada hari berikutnya, kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, digali semula dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat, sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi 10 Ogos di tanah perkuburan sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial