Enklaf Duta: Semantan Estate Dibenar Tangguh Keputusan Mahkamah Rayuan

29/08/2025 06:04 PM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan membenarkan Semantan Estate (1952) Sdn Bhd menangguhkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menyatakan Pendaftar Tanah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan syarikat itu sebagai pemilik tanah enklaf duta seluas 263.272 ekar (106.542 hektar), sementara menunggu keputusan permohonan kebenaran merayu.

Syarikat itu juga memperoleh penangguhan terhadap arahan Mahkamah Rayuan yang menghendaki kerajaan dan penilai syarikat menilai pampasan berdasarkan nilai pasaran 1956.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim membenarkan permohonan penangguhan itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan tidak membantah, namun memohon agar tarikh pendengaran permohonan kebenaran merayu dipercepatkan.

Hakim Hasnah yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera kemudian menetapkan 6 Nov sebagai tarikh pendengaran permohonan kebenaran, lebih awal dari tarikh asal iaitu 13 Nov.

Semantan Estate memohon penangguhan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 24 Jun yang mengarahkan Mahkamah Tinggi menilai pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan bagi pengambilan tanah berkenaan, berdasarkan nilai pasaran 1956 bersama faedah tahunan sebanyak enam peratus sehingga pampasan diselesaikan.

Mahkamah Rayuan turut mengarahkan agar kerajaan dan Semantan Estate masing-masing melantik penilai dalam tempoh 90 hari dari tarikh penghakiman untuk melaksanakan penilaian berkenaan.

Pada 24 Jun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan dan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak kepada hak milik tanah berkenaan, namun masih berhak menerima pampasan yang mencukupi, yang akan dikira berdasarkan nilai tanah pada 1956 ketika kerajaan mengambil alih pemilikan.

Sebarang pampasan yang ditentukan oleh Mahkamah Tinggi akan ditolak sebanyak RM1.325 juta, yang telah dibayar oleh kerajaan pada 1956.

Mahkamah turut memutuskan bahawa syarikat itu berhak menerima keuntungan mesne, dengan jumlahnya akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Tanah yang dipertikaikan itu terletak di kawasan strategik di Jalan Duta yang dikenali sebagai enklaf duta dan kini menempatkan beberapa kemudahan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

-- LAGI

 

MAHKAMAH–SEMANTAN ESTATE 3 (AKHIR) (PUTRAJAYA)

 

Semantan Estate memulakan pertikaian undang-undang pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan, mendakwa bahawa tanah terbabit diambil secara tidak sah.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil tanah itu secara tidak sah. Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun ditolak.

Pada Februari 2017, Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi itu.

Pada 21 Julai tahun ini, syarikat itu memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan, dengan mengemukakan 26 persoalan undang-undang untuk diputuskan.

Pada prosiding hari ini, Semantan Estate diwakili peguam Datuk Dr Cyrus Das, Ira Biswas dan Janet Chai Pei Ying.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan