KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lepas ditemukan selamat di Ampang, Selangor, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata punca kehilangan Laskar Udara Kanan Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, masih dalam siasatan dan hasilnya akan dimaklumkan kemudian.
“Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu memberikan maklumat sehingga orang hilang berjaya ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media pada Isnin melaporkan Muhammad Ammar kali terakhir dikesan mandi bersama rakannya di Sungai Kedondong, Batang Kali, Selangor pada 23 Ogos.
Beliau bertugas di Pangkalan Tentera Udara Subang dan kini dalam tempoh menjalani kursus penyelia pengangkutan kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT), TUDM Bandar Kinrara, Puchong.
Pada 24 Ogos, rakan sebilik kursus menghubungi lelaki itu namun mendapati telefon bimbitnya dimatikan sebelum anggota TUDM dari INSMAT membuat laporan polis pada 25 Ogos, 4.16 petang kerana Muhammad Ammar tidak melaporkan diri semula ke institut itu.
Sementara itu, Muhamad Farid berkata Muhammad Ammar ditemukan di dalam satu unit kondominium di Ampang Jaya dipercayai milik teman wanitanya kira-kira 1 tengah hari.
“Muhammad Ammar ditemukan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya yang membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata Muhammad Ammar turut memberikan alasan tidak menjawab panggilan telefon daripada keluarga dan pihak TUDM kerana takut dan perlu menyembunyikan diri selepas terlibat kemalangan dengan pegawai TUDM di Subang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial