Pegawai, Anggota Polis Ditahan Kes Kehilangan Barang Di Inap Desa

03/09/2025 02:56 PM

SHAH ALAM, 3 Sept (Bernama) -- Seorang pegawai dan beberapa anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan barangan peribadi di sebuah banglo inap desa di Kajang pada 28 Ogos lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pegawai dan anggota terbabit ditahan  petang semalam susulan laporan dibuat seorang daripada penyewa inap desa tersebut sehari selepas kejadian.

Beliau berkata laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu curi dalam bangunan.

"Semakan mendapati sebelum itu terdapat serbuan dijalankan pada 28 Ogos kira-kira 2 pagi selepas polis menerima maklumat berhubung bunyi bising dipercayai akibat aktiviti hiburan di premis berkenaan.

“Berikutan itu, serbuan telah dilakukan oleh pasukan terbabit bagi mengesahkan maklumat tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shazeli berkata berdasarkan laporan, penyewa terbabit mendakwa kehilangan barangan berharga berjumlah ratusan ribu ringgit selain mendapati keadaan bilik yang berselerak selepas serbuan.

Beliau berkata polis kemudian bertindak menahan pegawai dan beberapa anggota yang terlibat dalam serbuan berkenaan.

"Penahanan ini dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan,” katanya dan menambah siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan