BATU PAHAT, 3 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas kerugian RM563,560 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata lelaki berusia 73 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan di laman Facebook yang menawarkan keuntungan tinggi pada 2 April lepas.
Beliau berkata mangsa yang kemudiannya berurusan dengan seorang lelaki tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp, bertindak melakukan transaksi ke lima akaun berbeza secara berperingkat bermula 3 Jun hingga 24 Julai lepas, keseluruhan berjumlah RM563,560.
“Setelah memasukkan wang, mangsa kemudian mendapati keuntungan hasil pelaburan telah berganda hingga mencecah RM1,770,017.
“Untuk mengeluarkan wang berkenaan warga emas tersebut diminta membuat pembayaran tambahan namun dia tidak melakukannya. Mangsa juga tidak mendapat pulangan yang dijanjikan malah wang yang dilaburkan juga terus lesap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang menyedari dirinya di tipu bertindak memuat laporan polis semalam dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial