Sindiket Judi Dalam Talian Tumpas, 34 Individu Ditahan

03/09/2025 06:19 PM

SHAH ALAM, 3 Sept (Bernama) -- Polis menahan 34 warga asing termasuk seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian di sebuah rumah teres di Sungai Buloh, Sabtu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata individu yang ditahan dalam serbuan kira-kira 5.10 pagi itu meliputi 29 lelaki dan lima perempuan berusia antara 19 hingga 33 tahun.

Beliau berkata sindiket terbabit menggunakan aplikasi Facebook untuk menyamar sebagai wanita bagi memperdaya pelanggan, khususnya dari luar negara.

"Siasatan awal mendapati sindiket terbabit menggunakan helah menyamar sebagai wanita di Facebook untuk memikat pelanggan.

"Mangsa kemudian dipujuk mengakses satu laman web perjudian, manakala urusan pertaruhan dan pengeluaran wang dijalankan menerusi aplikasi WhatsApp menggunakan akaun bank luar negara," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shazeli berkata sindiket itu yang dikesan aktif sejak beberapa bulan lepas menawarkan beberapa permainan perjudian dengan anggaran keuntungan harian antara RM2,000 hingga RM2,500.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki warga tempatan itu bertindak sebagai penjaga premis merangkap penyelia dengan gaji sebanyak RM5,000 sebulan, manakala pekerja lain dibayar kira-kira RM2,000.

"Mereka ini bekerja setiap hari dari 9 pagi hingga 11 malam, manakala ujian air kencing terhadap semua suspek adalah negatif dan tiada rekod jenayah lampau dikesan.

"Kesemua suspek direman empat hari bermula 31 Ogos hingga hari ini dan polis sudah memohon sambungan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b), (c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Shazeli berkata polis turut merampas 21 set komputer serta 22 unit telefon bimbit yang digunakan dalam aktiviti terbabit.

Dalam pada itu, Shazeli berkata sebanyak 39 individu termasuk 24 lelaki dan dua wanita tempatan ditahan kerana terbabit sindiket penipuan pusat panggilan dalam tiga operasi berasingan di Subang Jaya dan Rawang, bulan lepas.

Serbuan dan penahanan anggota sindiket penipuan skim pelaburan kripto melibatkan suspek, termasuk 13 warga asing berusia antara 18 hingga 57 tahun itu, antara langkah membanteras sindiket penipuan pusat panggilan di Selangor yang merekodkan kerugian sebanyak RM515 juta setakat ini.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket berbeza itu telah beroperasi antara Mac hingga Julai lepas dengan menyasarkan mangsa dari Hong Kong, Australia dan Singapura. 

Shazeli berkata ketiga-tiga sindiket ini menggunakan modus operandi sama, iaitu berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan bagi tujuan mencari mangsa. 

“Pada peringkat awal, ahli sindiket akan berkomunikasi dengan mangsa melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Telegram dan WhatsApp. 

"Setelah itu, mangsa yang berjaya diyakinkan akan ditawar menyertai pakej pelaburan dikawal ahli sindiket lain dengan pakej pelaburan itu adalah tidak wujud," katanya sambil menambah mangsa hanya menyedari ditipu selepas bayaran telah dibuat dan ahli sindiket gagal dihubungi .

Shazeli berkata serbuan terhadap ketiga-tiga sindiket menyaksikan pelbagai peralatan termasuk komputer riba, telefon bimbit, modem yang dianggarkan bernilai RM170,000 selain sembilan buku skrip bagi memperdayakan mangsa telah dirampas.

“Sebanyak 17 suspek telah didakwa mengikut Seksyen 130B (2) Kanun Keseksaan di mahkamah dan didenda masing-masing sebanyak RM3,000, manakala baki suspek lain masih dalam siasatan,” katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan