Kes Dalam Siasatan, Bung Moktar Tidak Lapor SPRM Zizie Izette Terima RM2.8 Juta 

03/09/2025 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau tidak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis berhubung wang RM2.8 juta diterima isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

Bung Moktar, 65, berkata tiada keperluan untuk membuat laporan kerana kes itu masih dalam siasatan SPRM, selain memaklumkan beliau dan isterinya turut disiasat agensi berkenaan.

Bagaimanapun, saksi pembelaan pertama itu tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How bahawa apabila tiada laporan dibuat, ia boleh memberi impak besar kepada beliau.

Bung Moktar juga tidak bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa sekiranya laporan dibuat, sekurang-kurangnya ia boleh membersihkan namanya.

"Tidak Yang Arif, sebab kami tengah disiasat di bawah Akta SPRM," katanya pada perbicaraan membela diri beliau dan Zizie Izette atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Disoal Law sama ada Bung Moktar bersetuju bahawa isterinya tidak pernah memulangkan RM2.8 juta kepada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar atau Felcra Berhad, Bung Moktar menjawab beliau tidak pasti.

Bung Moktar bagaimanapun bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan atau memberitahu isterinya agar memulangkan RM2.8 juta kepada Norhaili atau Felcra Berhad kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Sementara itu, kepada soalan Law, Bung Moktar memberitahu mahkamah bahawa beliau sememangnya tidak tahu Zizie Izette menerima RM2.8 juta daripada Norhaili.

Law: Setuju dengan saya, Datuk Seri kononnya baru tahu, Datin Seri Zizie Izette terima RM2.8 juta daripada Norhaili Ahmad Mokhtar ketika Datuk Seri disiasat SPRM. Setuju dengan saya ketika itu sudah pasti Datuk Seri marah dan sedih?

Bung Moktar: Sebenarnya memang tiada istilah konon, memang saya tidak tahu. Saya terkejut, terperanjat dengan peristiwa yang berlaku.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan