Polis Giat Kesan Suspek Serang Saksi Kes Rasuah Lim Guan Eng

03/09/2025 05:16 PM

SHAH ALAM, 3 Sept (Bernama) -- Polis sedang giat mengesan suspek terlibat dalam serangan terhadap saksi utama perbicaraan membabitkan kes rasuah bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan kes membabitkan serangan itu masih diteruskan dengan beberapa keterangan telah direkodkan melibatkan pelbagai pihak.

"Kes (siasatan) itu masih lagi aktif dan kita merakam keterangan ramai saksi bagi menentukan tujuan atau modus operandi kejadian berkenaan.

"Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor masih meneruskan operasi mencari suspek," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 11 Ogos lepas, Shazeli dilaporkan berkata kes pecah rumah yang membabitkan saksi utama kes rasuah Lim, adalah kes jenayah.

Media sebelum ini melaporkan mangsa cedera di muka dan tangan selepas diserang sekumpulan 10 lelaki yang menceroboh rumahnya di Petaling Jaya, dekat sini pada 6 Ogos lepas.

Lim, yang juga Penasihat DAP sedang berdepan beberapa pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen berhubung Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan