IPOH, 4 Sept (Bernama) -- Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di lorong tepi sebuah bangunan hotel di Jalan Horley, di sini pada 27 Ogos lepas.
M. I. Saravanan, 32, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian kepada mangsa yang dikenali dengan nama Fendi di lokasi terbabit pada 27 Ogos lepas.
Saravanan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya S. Nishaalini tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon satu tarikh bagi menyerahkan laporan bedah siasat, laporan patologi, laporan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan laporan forensik rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Nov untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan-laporan berkenaan.
Tertuduh diwakili Peguam S. Vinesh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial