MPKj Tangkap Anjing Disyaki Serang Kanak-kanak Di Cheras

04/09/2025 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menangkap anjing yang disyaki mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Taman Megah, Cheras dekat sini petang semalam.

Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat MPKj memaklumkan pasukan Unit Tangkapan Anjing Terbiar MPKj dikerah segera ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap anjing terbabit.

“Bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penduduk setempat, MPKj telah menghantar petugas untuk menjalankan siasatan ke premis pemilik anjing pada hari ini serta melaksanakan kawalan dan tangkapan anjing berkeliaran di kawasan sekitar,” menurut MPKj dalam kenyataan.

Kenyataan itu memaklumkan anjing berkenaan telah dibawa ke Pusat Tahanan Haiwan MPKj untuk diasingkan dan ditahan sehingga siasatan kes selesai. 

“Pihak MPKj juga akan mendapatkan pandangan teknikal daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Hulu Langat bagi tindakan selanjutnya dan menyeru agar pemilik anjing tidak melepaskan haiwan peliharaan mereka ke luar premis tanpa pengawasan,” menurut kenyataan itu. 

Terdahulu Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata seorang kanak-kanak lelaki cedera digigit seekor anjing ketika sedang bermain basikal di jalan berhampiran rumahnya dalam kejadian pada 6.30 petang.

Mangsa yang cedera di bahagian kepala kini dirawat di wad kanak-kanak Hospital Kajang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan