PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan bagi kebenaran yang difailkan oleh bekas pengendali Menara Kuala Lumpur untuk memulakan prosiding komital terhadap kerajaan, beberapa individu dan tiga syarikat.
Permohonan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd telah ditolak oleh panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril serta Ong Chee Kwan.
Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Che Mohd Ruzima berkata tiada merit dalam permohonan itu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap responden kerana menghina mahkamah.
Beliau turut memerintahkan Menara Kuala Lumpur dan Hydroshoppe membayar RM20,000 sebagai kos perundangan kepada kerajaan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, LSH Service Master Sdn Bhd, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd (yang telah mengambil alih operasi Menara Kuala Lumpur).
Menara Kuala Lumpur dan Hydroshoppe telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap kesemua responden atas dakwaan mengganggu pentadbiran keadilan semasa kes itu masih berjalan.
Sebelum ini, permohonan sama telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Jun lepas.
Hydroshoppe dan Menara KL telah memfailkan saman pelanggaran kontrak terhadap kesemua responden menuntut ganti rugi RM1 bilion berhubung penamatan perjanjian konsesi Menara Kuala Lumpur.
Pada prosiding hari ini, peguam Vinayak Sri Ram dan David Wong mewakili Hydroshoppe serta Menara KL manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi hadir bagi pihak kerajaan dan Fahmi.
Peguam Datuk Arthur Wang pula mewakili LSH Service Master Sdn Bhd, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial