Pemandu Kren Direman Disyaki Dera Anak Saudara

07/09/2025 05:42 PM

KANGAR, 7 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki direman dipercayai mendera anak saudara lelakinya berusia enam tahun di sebuah rumah di Jalan Kilang Ais, Kuala Perlis dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pemandu kren itu ditahan pada 12.20 tengah malam tadi dan dia disyaki memukul tangan kiri kanak-kanak itu dengan tali pinggang hingga menyebabkan kesan lebam pada tangan mangsa.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada ibu saudara mangsa sebelah ibunya berusia 37 tahun semalam, selepas kira-kira 5 petang kanak-kanak itu mendakwa dipukul bapa saudara sebelah bapanya ketika berada di rumah datuknya di Jalan Kilang Ais berkenaan.

"Punca kejadian dipercayai kerana mangsa bermain dan menconteng mukanya sendiri menggunakan pen penanda ketika berada di ruang tamu. Suspek dipercayai tidak berpuas hati dan melarang mangsa sebelum kemudian dipercayai bertindak memukul mangsa menggunakan tali pinggang.

"Sebelum ini mangsa pernah mendakwa dipukul suspek yang tinggal bersama datuknya beberapa kali. Ibu saudaranya, bagaimanapun tidak membuat laporan polis ketika itu kerana beranggapan ingin menjaga hubungan baik keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak itu bersama dua lagi adik-beradiknya berusia empat dan sembilan tahun dijaga wanita itu dan datuk sebelah bapa yang tinggal berdekatan rumah wanita terbabit secara bergilir-gilir sejak 2022 selepas ibu bapa mereka bercerai.

Yusharifuddin berkata mangsa bersama adik lelaki dan kakaknya dirujuk ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini manakala suspek direman hingga Rabu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan