IPOH, 7 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki maut tertimbus semasa menjalankan kerja-kerja pengorekan tanah dan pemasangan paip di kawasan pengumpulan pasir sungai di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri di Seri Iskandar hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata dalam kejadian 5 petang itu, tiga lagi mangsa kesemuanya lelaki tempatan berjaya diselamatkan.
Beliau berkata sejurus tiba di lokasi kejadian, sepasukan anggota bomba mendapati tiga mangsa tersekat di dalam pam pasir manakala seorang lagi mangsa tertimbus sepenuhnya.
"Menurut saksi, dua pekerja terlihat tanah di sekeliling tempat korekan mulai rebak dan jatuh ke dalam longkang yang dikorek.
"Mereka juga cuba membantu mengeluarkan mangsa. Longkang yang dikorek dianggar sedalam tiga meter," katanya dalam kenyataan malam ini.
Shazlean berkata ketiga-tiga mangsa yang tertimbus pada paras dada berusia antara 28 hingga 38 tahun dan mengalami kecederaan berjaya dikeluarkan kira-kira 6.30 petang manakala mangsa yang tertimbus sepenuhnya berusia 26 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat berjaya dikeluarkan pada 7.59 malam dan dihantar ke Hospital Seri Iskandar untuk bedah siasat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial