KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Polis Kuala Lumpur mengeluarkan 2,077 notis advokasi kepada pengguna jalan raya sepanjang pelaksanaan Kempen Advokasi Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) sejak 6 Sept lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata sepanjang kempen itu, sebanyak 2,784 kenderaan telah diperiksa manakala empat kenderaan dikenakan tindakan tunda.
“Selain itu, 24 notis dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan 126 notis oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kempen advokasi itu bertujuan mendidik pengguna jalan raya mengenai kepentingan mematuhi undang-undang sebelum OP PUU sebenar dilaksanakan dengan notis advokasi diberikan bagi kesalahan kecil tanpa tindakan saman.
“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur turut mengadakan OP Didik bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang menunggang atau memandu kenderaan.
“Setakat ini, 18 notis advokasi dikeluarkan dan 18 pelajar telah diperiksa dalam operasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata advokasi OP PUU akan diteruskan sehingga ke satu tarikh yang ditetapkan dan selepas itu tindakan saman akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial