SEPANG, 10 Sept (Bernama) -- Sebanyak 13,071 notis saman dikeluarkan daripada 133,598 kenderaan yang diperiksa menerusi Op Khas Gempur Perdagangan yang bermula awal bulan ini di seluruh negara, kata Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Muhammad Kifli Ma Hassan.
Beliau berkata 274 kenderaan turut disita atas pelbagai kesalahan termasuk tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans, tiada Lesen Vokasional dan kesalahan teknikal lain.
“Kita dukacita kerana masih banyak pemandu dan pengusaha lori melakukan kesalahan yang biasa dilakukan. Ini satu keadaan yang tidak menggembirakan kerana masih banyak lori di jalan raya tidak mempunyai LKM serta tidak dilindungi insurans.
“Jadi kita mengambil satu tindakan drastik untuk menyita mana-mana lori atau bas yang melakukan kesalahan serius terutama sekali melibatkan pemandu tiada lesen memandu, lori tidak mempunyai LKM dan tidak dilindungi insurans,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Terdahulu, Muhammad Kifli mengetuai Op Khas Gempur Perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Arah Utara dekat sini.
Op Khas Gempur yang berkuat kuasa 1 Sept hingga 31 Dis 2025 di seluruh negara itu dilaksanakan bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh dengan pendekatan yang lebih tegas terhadap kenderaan perdagangan yang ingkar peraturan dan undang-undang jalan raya.
Beliau berkata JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi terhadap mana-mana pemandu atau pengusaha kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.
Ditanya sama ada terdapat kesalahan berulang, Muhammad Kifli mengakui perkara itu dan menegaskan pihak JPJ mengenakan tindakan tegas, iaitu menyita kenderaan terlibat.
Mengulas kesalahan serius yang dikesan JPJ dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan, beliau berkata masih terdapat lori yang digunakan di jalan raya menggunakan tayar tidak selamat.
“Perkara ini perlu diambil serius kerana sekiranya berlaku kecelakaan, ia akan membahayakan pengguna jalan raya,” katanya sambil menambah JPJ akan mengeluarkan notis penggantian tayar baharu sebelum kenderaan dibenarkan digunakan di jalan raya.
Beliau berkata pemandu dan pengusaha kenderaan perdagangan sering memberi alasan seperti terlepas pandang atau tiada modal mencukupi untuk menukar tayar baharu, tetapi alasan itu dianggap lapuk serta tidak lagi boleh diterima.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial