Op Khas Gempur: 335 Kenderaan Perdagangan Diambil Tindakan

10/09/2025 07:38 PM

MELAKA, 10 Sept (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengambil tindakan ke atas 335 kenderaan perdagangan atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi khas yang dijalankan di beberapa kawasan tumpuan di negeri itu dalam tempoh sembilan hari bermula 1 Sept lepas.

Pengarahnya Siti Zarina Mohd Yusop berkata sebanyak 648 notis saman juga dikeluarkan dalam tempoh sama selain tiga kenderaan barangan yang dikesan lebih muatan disita kerana lesen kenderaan motor dan insurans tamat tempoh.

"Sepanjang sembilan hari Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan dijalankan, JPJ Melaka telah memeriksa sebanyak 13,116 kenderaan dan 2,034 daripada kenderaan itu merupakan kenderaan barangan.

"Dalam tempoh itu juga, sebanyak 335 kenderaan perdagangan diambil tindakan melibatkan 150 kenderaan barangan berat kurang daripada 7,500 kilogram (kg), kenderaan barangan berat melebihi 7,500kg (168), bas ekspres (lapan), bas persiaran (lapan) dan e-hailing (satu)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi berkenaan di Hentian Rehat dan Rawat Jejantas Ayer Keroh, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Zarina berkata sepanjang tempoh itu juga tujuh kertas siasatan kes lebih muatan melibatkan kenderaan barangan dan dua kertas siasatan kenderaan perkhidmatan awam melibatkan bas persiaran kerana tiada senarai penumpang serta melanggar syarat lesen pengendali, dibuka untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Terdahulu, beliau berkata dalam operasi sama yang dijalankan hari ini bermula 6 hingga 10.30 pagi tadi, sebanyak lapan daripada 10 kenderaan barangan yang diarah timbang didapati lebih muatan.

Katanya kenderaan yang membawa muatan bahan binaan, kelapa sawit, baja dan dedak ayam itu turut dikompaun atas kesalahan itu.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan