SEPANG, 10 Sept (Bernama) -- Pasukan Penguat Kuasa Farmasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA merampas ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai kira-kira RM17,100 yang cuba dibawa masuk menerusi Hab Antarabangsa Pos Malaysia (PMIH), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi semalam.
AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemeriksaan sekitar 11 pagi itu menemukan sebuah bungkusan mencurigakan dari Kemboja yang dialamatkan kepada seorang individu di Klang, Selangor.
“Pemeriksaan lanjut mendedahkan bungkusan tersebut menyembunyikan 3,420 biji ubat-ubatan tidak berdaftar yang dipercayai mengandungi bahan psikotropik tersenarai dalam Jadual Ketiga, Akta Racun 1952.
“Antara rampasan termasuk tablet Alprazolam 0.5 miligram (jenama Xanax) sebanyak 3,000 biji bernilai RM15,000 dan tablet Zolpidem 10 miligram (jenama Stilnox) sebanyak 420 biji bernilai RM2,100,” menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan cubaan pengimportan ubat-ubatan tidak berdaftar merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 7(1) (a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, dibaca bersama Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Ia juga melanggar Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan Psikotropik) 1989 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) Akta Racun 1952.
“Semua ubat-ubatan dirampas akan dilupuskan mengikut prosedur sedia ada,” menurut kenyataan itu.
AKPS dalam pada itu menegaskan komitmen untuk terus memperketat kawalan di pintu masuk negara dan memberi amaran keras bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana cubaan penyeludupan ubat-ubatan haram yang boleh menggugat keselamatan dan kesihatan awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial