Mahkamah Persekutuan Kekal Hukuman Penjara, Sebatan, Edar Dadah

10/09/2025 07:21 PM

PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 30 tahun serta 12 sebatan terhadap seorang penganggur yang disabitkan dengan kesalahan mengedar hampir 740 gram syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), enam tahun lalu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Farid Wan Salleh, bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Nordin Hassan, sebulat suara menolak rayuan akhir Liau Vui Pin, 40.

“Tiada kesilapan yang boleh dirayu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Sabitan adalah selamat,” katanya ketika mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

Liau, berasal dari Sabah dan pernah bekerja sebagai pemandu serta tukang masak, disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 15 Sept 2023 kerana mengedar 738.77 gram syabu.

Beliau dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan. Ketika ditahan, Liau tidak bekerja.

Mahkamah Rayuan pada 12 Sept 2024 menolak rayuannya.

Kesalahan itu berlaku di kawasan mesin pengimbas KLIA, Sepang pada pukul 1.15 tengah hari, 16 Sept 2019.

Berdasarkan fakta kes, seorang anggota polis peronda mengesan Liau dalam keadaan mencurigakan serta berjalan tidak selesa. Anggota itu kemudian mengarahkan polis bantuan di mesin pengimbas meminta Liau menanggalkan kasutnya.

Hasil pemeriksaan menemui dua bungkusan putih berbalut pita pelekat yang disorok dalam tumit kasutnya. Liau turut menyerahkan satu lagi bungkusan sama yang disembunyikan dalam seluar dalam. Suspek segera ditahan dan semua bungkusan dirampas.

Dalam pembelaannya, Liau mendakwa seorang lelaki dikenali sebagai Anson memberitahunya bungkusan berkenaan mengandungi “serbuk gigi gajah”.

Pada prosiding hari ini, Liau diwakili peguam Goh Cia Yee manakala Timbalan Pendakwa Raya Faizal @ Amrin Noor Hadi mewakili pihak pendakwaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan