KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) akan diumumkan tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri semalam, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata DIPN ialah kerangka strategik untuk memperkukuh industri pertahanan negara melalui inovasi dan kemajuan teknologi.
“Dasar itu akan dilancarkan tidak lama lagi, ia bakal memberi hala tuju kepada pertumbuhan industri pertahanan tempatan, dengan penekanan kepada peningkatan kandungan domestik serta sasaran keupayaan berdikari dalam sektor-sektor pertahanan yang strategik," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di sini hari ini, yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Mohamed Khaled menegaskan perkembangan sains dan teknologi bukan lagi perkara yang asing dalam sektor pertahanan, malah satu keperluan yang kritikal.
“Sebagai sebahagian daripada usaha itu, kementerian akan memperkasakan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) untuk menerajui penyelidikan dan pembangunan dalam sektor berkenaan.
“Bagi menyokong peranan STRIDE, kementerian juga akan menubuhkan Majlis Penasihat Sains dan Teknologi Pertahanan (MPSTP) yang bakal memberikan hala tuju strategik bagi teknologi pertahanan pada peringkat kebangsaan," kata beliau.
STRIDE, dengan kerjasama akademia dan pemain industri dijangka memastikan ATM dilengkapi dengan teknologi moden serta relevan mengikut konteks semasa.
Mohamed Khaled berkata kementerian juga akan memperkasakan Program Kolaborasi Industri (ICP) yang menumpukan bidang utama seperti sistem autonomi dan robotik, sistem persenjataan, keupayaan siber elektromagnetik serta sistem aeroangkasa.
"Malaysia mesti membangunkan rantaian bekalan yang berdaya tahan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber luar. Kolaborasi yang diperkukuh antara kerajaan, universiti dan syarikat tempatan akan menjadi teras dalam mencapai matlamat itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial