KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan pada hari ini menggariskan cabaran dan hala tuju strategik baharu bagi memastikan pertahanan negara lebih berdaya tahan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Kajian Separuh Penggal 2024 dilakukan bagi menilai keberkesanan dasar, meneliti konteks pertahanan semasa dan merangka hala tuju strategik baharu supaya bersesuaian realiti keselamatan kini yang berbeza berbanding lima tahun lepas.
Beliau berkata kajian berkenaan mendapati antara cabaran keselamatan baharu yang dihadapi negara melibatkan ancaman pertahanan baharu yang berpaksikan teknologi tinggi.
"Kajian turut mendapati kita berhadapan dengan cabaran Laut China Selatan yang semakin serius selain negara juga menghadapi ancaman bukan tradisional yang menuntut peranan ATM di luar medan peperangan konvensional," katanya pada Majlis Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata ketegangan di Laut China Selatan meningkatkan risiko pertembungan ketenteraan yang tidak dirancang dan diingini, kehadiran kapal perang kuasa besar serta peningkatan operasi pesawat tentera boleh memburukkan lagi situasi.
"Penggunaan strategi bukan ketenteraan yang mencabar secara halus, seperti aktiviti penyelidikan hidrografi yang dilindungi kapal-kapal pengawal pantai asing di Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia menimbulkan provokasi dan mengancam kedaulatan negara," katanya.
Bagi menghadapi cabaran berkenaan Mohamed Khaled berkata hala tuju berkenaan melibatkan usaha reformasi dan transformasi Angkatan Masa Hadapan secara berterusan.
Beliau berkata ia juga bagi menjadikan warga kerja pertahanan dan seluruh rakyat sebagai teras dalam pengukuhan pertahanan negara secara inklusif supaya ATM terus dihormati dan disegani terutama oleh rakan-rakan serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial