SHAH ALAM, 11 Sept (Bernama) -- Polis mengesahkan dakwaan kejadian cubaan culik murid sekolah menengah, di sini seperti yang tular dalam media sosial hari ini, adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan mendapati murid lelaki berumur 13 tahun itu berbuat demikian sebagai alasan tidak mahu ke sekolah.
Beliau berkata terdahulu, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh mangsa, iaitu pelajar terbabit pada 9.22 pagi berhubung cubaan diculik ketika sedang berjalan kaki ke sekolah.
“Siasatan mendapati mangsa telah memberitahu bapanya yang berumur 37 tahun berkenaan perkara itu sebelum kedua-dua mereka hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam bagi memberikan keterangan tentang kes cubaan culik itu.
“Soal siasat yang dijalankan mendapati laporan yang dibuat oleh mangsa adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Iqbal berkata mangsa telah mengaku membuat laporan polis untuk dijadikan alasan kepada bapanya kerana tidak mahu ke sekolah akibat kasut sekolah telah terkena najis kucing.
Beliau berkata siasatan tidak diteruskan disebabkan mangsa masih lagi bersekolah, selain amaran keras telah diberikan kepada pelajar itu serta bapanya berhubung laporan palsu tersebut.
“Kes telah pun selesai disiasat dan bapa kepada mangsa telah membuat penarikan laporan polis bersabit Sek 6/11404/2025 berikutan bapa mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian sebenar yang berlaku,” katanya.
Mohd Iqbal turut menasihati mana-mana individu agar tidak membuat sebarang laporan palsu kerana jika sabit kesalahan boleh disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan dihukum penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, tular menerusi aplikasi WhatsApp laporan polis yang dibuat oleh seorang pelajar sekolah berkaitan cubaan diculik ketika sedang berjalan kaki ke sekolah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial