Pemandu Pacuan Empat Roda Maut Tercampak Dalam Nahas Jalan Raya

14/09/2025 04:47 PM

SEREMBAN, 14 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki warga tempatan maut akibat tercampak selepas pacuan empat roda yang dipandunya terbabit dalam nahas jalan raya di KM 276 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu kira-kira 6.50 pagi dan mangsa berusia 20-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi manakala rakannya cedera. 

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama rakan lelaki berusia 20-an dalam perjalanan dari Bangsar menghala ke Seremban sebelum kenderaan dipandunya dipercayai hilang kawalan dan melanggar besi penghadang di kanan jalan.

“Kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum merempuh bahagian belakang kereta dipandu lelaki berusia 40-an bersama isteri dan dua anak berumur belasan tahun dari Seri Kembangan menghala Johor, yang berada di lorong kedua dari kanan sebelum terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu mangsa tercampak sebelum dihempap oleh kenderaannya, manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri dan keluar menggunakan pintu kanan.

Abdul Malik berkata penumpang kereta yang berada di bahagian belakang tersepit dan dikeluarkan oleh anggota bomba, manakala pemandu dan penumpang hadapan berjaya keluar sendiri.

Mayat dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Polis Daerah Nilai melalui talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai) atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai Insp Muhammad Farid Danial Azli melalui talian 012-9122198. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan