Lelaki Hilang Disyaki Hanyut Di Sungai Perak

15/09/2025 04:05 PM

IPOH, 15 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki hilang disyaki hanyut di Sungai Perak berhampiran Jeti Awam Kampung Pulau Belayar dekat Gerik, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik telah menerima laporan mengenai kejadian kehilangan mangsa yang berusia 53 tahun itu pada 11.03 malam.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa telah pergi menjala ikan di kawasan Sungai Perak berhampiran Jeti Awam Kampung Sungai Belayar dengan menaiki sebuah bot miliknya.

"Pada hari yang sama kira-kira 8.30 malam, pengadu iaitu isteri mangsa yang berusia 50 tahun telah menerima panggilan daripada adiknya memaklumkan penduduk kampung telah menjumpai barang-barang mangsa terapung berhampiran jeti itu.

"Bot mangsa turut ditemukan dalam keadaan separuh tenggelam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Samad berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah digerakkan melibatkan pihak polis, bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah dalam kenyataan berasingan berkata operasi pencarian telah dimulakan pada 8.30 pagi tadi dengan melakukan pencarian di permukaan sungai, bertumpu di kawasan tempat mangsa disyaki jatuh. 

Beliau berkata jarak lokasi mangsa dipercayai jatuh dianggarkan kira-kira 700 meter dari jeti berkenaan dan anggota penyelamat turut melakukan pusingan bot di sekitar lokasi, dengan kedalaman air sungai dianggarkan satu meter. 

"Pasukan PPDA (Pasukan Penyelamat Di Air) juga dalam perjalanan ke lokasi kejadian," katanya.

Shazlean berkata mangsa Azri Md Sharif dilaporkan keluar kira-kira 3.30 petang semalam untuk mencari ikan di sekitar Sungai Perak.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan oleh isteri mangsa, kebiasaannya Azri akan pulang sebelum 7 malam sekiranya turun mencari ikan, namun mangsa tidak pulang.

"Penduduk kampung telah menjumpai barang milik mangsa iaitu selipar, pukat, tong petrol yang hanyut. Ahli keluarga mangsa telah turun mencari mangsa dan menjumpai bot mangsa yang tenggelam lalu membuat laporan polis," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan