KUALA TERENGGANU, 16 Sept (Bernama) -- Seorang pensyarah wanita sebuah universiti di Kuala Nerus kerugian sebanyak RM244,925.61 selepas ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 14 Ogos lepas mangsa yang berusia 56 tahun menerima pesanan WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang mengandungi iklan pelaburan berserta pautan untuk menyertai skim ditawarkan.
Beliau berkata mangsa yang tertekan pautan itu secara tidak sengaja telah diberi tiga pilihan pelaburan bermula daripada skim serendah RM300.
"Mangsa telah membuat pelaburan sebanyak RM300 dan dijanjikan keuntungan sebanyak RM14,000 oleh suspek.
"Bagaimanapun, untuk mengeluarkan keuntungan itu, mangsa perlu membuat sejumlah bayaran dengan membuat pindahan wang ke beberapa akaun yang diberikan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa membuat bayaran ke 18 akaun bank berbeza menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Kerja (KWSP) miliknya bermula dari 20 Ogos hingga 10 Sept lepas.
"Mangsa yang gagal mendapatkan wang keuntungan membuat laporan polis pada 10.56 malam tadi. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial