Imbau Kenangan Berkhidmat Dengan Helikopter Nuri, Veteran TUDM Semat Mesej Patriotisme

16/09/2025 11:22 AM

Oleh Habsah Ismail

TUMPAT, 16 Sept (Bernama) -- Walaupun perkhidmatan helikopter Nuri telah ditamatkan namun pengalaman lebih sedekad bersama pesawat legenda itu masih segar dalam ingatan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Koperal (B) Hanafi Salleh.

Bunyi deruman enjin helikopter masih terngiang-ngiang di telinga anak jati Kampung Dalam Rhu itu, yang pernah berkhidmat sebagai anggota pasukan elit Pertahanan Darat dan Udara (Handau), kini dikenali sebagai Pasukan Khas Udara (PASKAU), serta pasukan payung terjun dan unit mencari dan menyelamat.

“Boleh kata setiap hari saya bersama helikopter Nuri, sama ada operasi membawa anggota, latihan atau misi kecemasan... pernah juga mendarat cemas di Mersing, Johor kerana masalah enjin dan pengalaman itu masih segar di ingatan.

“Ada juga misi membawa jenazah selain terlibat dalam operasi menyelamat rekrut yang diserang ketika dalam perjalanan di kawasan hutan di Lahat, Perak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Hanafi, 66, berkhidmat selama 13 tahun dengan TUDM bermula pertengahan tahun 1970-an sebelum menyertai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sehingga beliau bersara.

Hanafi, yang pernah menjadi ketua pasukan penyelamat, berkata walaupun berlaku beberapa kejadian helikopter Nuri terhempas melibatkan rakan sepasukan namun tragedi itu tidak menghalang beliau daripada terus menaburkan bakti kepada negara.

Beliau turut berkongsi pengalaman pertama membuat terjunan udara pada waktu malam yang menjadi antara kenangan paling mendebarkan.

“Antara yang tidak dapat dilupakan ialah insiden payung terjun seorang rakan tidak terbuka sepenuhnya hingga terpaksa mendarat cemas di atas payung rakan lain... syukur kedua-duanya selamat mendarat menggunakan satu payung,” katanya.

Hanafi juga pernah melakukan penerjunan malam dari pesawat Charlie bersama kira-kira 50 anggota lain dan terpilih sebagai anggota pertama untuk berbuat demikian.

“Umur baru 26 tahun... memang nyawa ibarat di hujung tanduk... Alhamdulillah, saya terselamat kerana setiap anggota tentera perlu sentiasa bersedia mengutamakan keselamatan negara mengatasi kepentingan diri dan keluarga.

“Itulah makna sebenar menjadi tentera udara… menjaga ruang udara negara walaupun terpaksa menggadai nyawa,” katanya sambil meluahkan rasa syukur dikurniakan umur yang panjang.

Bersempena Hari Malaysia 2025 yang disambut hari ini, Hanafi berkata generasi muda perlu memahami amanah mempertahankan kedaulatan negara dan mengisinya dengan semangat cintakan tanah air.

“Fahami sejarah dan hargai Jalur Gemilang... ia bukan hanya sebagai simbol tetapi sebagai tanda maruah negara,” katanya.

Selepas bersara, Hanafi tidak pernah berhenti menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti antaranya sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah, AJK Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Kawasan Rukun Tetangga Dalam Rhu serta Kampung Baru Nelayan.

“Jiwa saya masih dengan masyarakat malah bagi saya, negara ini bukan hanya dipertahankan dengan senjata tetapi juga dengan semangat kebersamaan,” katanya yang memiliki lima anak dan sembilan cucu.

Atas jasa dan pengorbanannya, Hanafi dikurniakan Pingat Jasa Malaysia pada Mei 2015 serta Pingat Perangai Baik pada 2012 sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

Selagi hayat dikandung badan, Hanafi bertekad menjadi contoh bahawa semangat patriotisme bukan sekadar diraikan pada Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia sebaliknya perlu diterjemah, dihayati dan diamalkan setiap hari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan