Bot Terbakar: APMM Selamatkan Tiga Nelayan Filipina

17/09/2025 12:02 PM

SANDAKAN, 17 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan tiga nelayan Filipina yang terapung dengan berpaut pada serpihan kayu berhampiran Pulau Taganak selepas bot mereka terbakar, semalam.

Pengarah APMM Sabah Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata kejadian pada 2.05 petang semasa KM Banggi yang belayar ke Sandakan mengesan kepulan asap hitam pada jarak lima batu nautika timur laut perairan Filipina.

“Pasukan penyelamat digerakkan pada 2.52 petang. Tiga mangsa ditemukan terapung dan berjaya diselamatkan namun seorang daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Mereka dikenali sebagai Hajar Ganih yang cedera pada kedua-dua kaki dan Adamin manakala mangsa meninggal dunia ialah Fattah Asa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang mangsa memaklumkan lapan kru lain telah diselamatkan bot tempatan dan dibawa ke Pulau Bakungan Besar.

Mohd Khairulanuar berkata KM Banggi telah ke Pulau Taganak untuk menyerahkan mangsa kepada pihak berkuasa Filipina, dengan proses penyerahan selesai pada 6.34 petang. 

Proses itu melibatkan pasukan KM Banggi diketuai Komander Maritim Mahathir Mohammad dan lima anggota Philippine Coast Guard Sub Division Operation Taganak diketuai Ens. Datu Halun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan