LUMUT, 18 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan dengan rakannya di sebuah rumah di Sungai Pinang Kecil, Pulau Pangkor, semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menimpa mangsa berusia 73 tahun itu pada 2 petang.
“Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pangkor yang tiba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, Hasbullah berkata bertindak atas maklumat awam, polis menahan seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun dipercayai suspek utama kes itu di hadapan sebuah kedai makan di Sungai Pinang Kecil pada 2.30 petang hari sama.
Beliau berkata Mahkamah Majistret Seri Manjung turut membenarkan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Sukjit Singh di talian 019-550 5536 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 atau Hotline WhatsApp 017-682 8005,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial