KOTA BHARU, 19 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan kawalan di sempadan Kelantan-Thailand akan terus diperkukuh bagi mengekang kegiatan penyeludupan.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi memastikan kawalan yang lebih berkesan.
“Saya percaya dan yakin Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat telah menguatkuasakan undang-undang dengan tegas dan banyak perkara dapat diselesaikan.
“Insya-Allah menerusi kerjasama semua agensi, kita dapat memperkukuh lagi tindakan membanteras isu-isu penyeludupan dan sebagainya di sempadan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Pegawai Awam PDRM ke-17 sempena sambutan Hari Polis ke-218 di sini hari ini.
Beliau berkata lawatan rasmi ke Kelantan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi meninjau sendiri operasi di kawasan sempadan, termasuk isu premis tidak berlesen yang dikenal pasti beroperasi secara haram.
“Kita percaya penguatkuasaan yang dijalankan PDRM Kelantan kini berada pada tahap baik dan usaha ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial