KOTA BHARU, 20 Sept (Bernama) -- Pihak berkuasa Thailand berjaya mematahkan cubaan menyeludup 450,000 biji pil yaba bernilai 13.5 juta baht (RM1.8 juta) ke Malaysia melalui perkhidmatan kurier, semalam.
Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok Supeeyan Daemokleng berkata rampasan itu dilakukan hasil maklumat risikan mengenai penghantaran dadah melalui sebuah syarikat kurier ke bandar sempadan itu.
Beliau berkata pihaknya melakukan risikan sejak awal pagi untuk mengesan individu yang dijangka mengambil bungkusan berisi dadah itu.
"Bagaimanapun, tiada sesiapa hadir dan semua dadah telah dirampas serta dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Supeeyan berkata dadah itu dipercayai akan diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan haram Sungai Golok dan setiap pil dijual pada harga pasaran kira-kira 30 baht sebiji.
Rampasan dilakukan kira-kira pukul 2 petang (3 petang waktu Malaysia) di bawah arahan Gabenor Wilayah Narathiwat Lt Muda Trakul Thodham.
Beliau berkata pihaknya komited memperketat kawalan bagi menghalang kemasukan dadah ke Malaysia, yang sering menjadi sasaran sindiket penyeludupan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial