ARAU, 6 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menyita sebuah kereta mewah jenis Nissan GTR R35 milik ahli perniagaan dari Kedah kerana cukai jalan dan perlindungan insurans tamat tempoh sejak Mei lepas.
Pengarah JPJ Perlis Noraini Mohd Nawi berkata pihaknya menahan kereta dengan nilai anggaran semasa kira-kira RM350,000 milik lelaki berusia 40-an itu di Jalan Chuping-Padang Besar semasa rondaan Op Luxury kira-kira 4 petang semalam.
“Difahamkan lelaki itu ke Perlis kerana mempunyai urusan di Padang Besar dan mendakwa tidak menyedari cukai jalan kereta tersebut tamat tempoh,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JPJ Perlis di sini hari ini.
Sementara itu, Noraini berkata pihaknya menyita 80 kenderaan termasuk tujuh kenderaan mewah dari 1 Jan hingga setakat ini, atas pelbagai kesalahan seperti cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans serta pemandu tiada lesen memandu.
Beliau berkata tujuh kenderaan mewah terlibat ditahan dalam Op Luxury bermula 1 Ogos yang menumpukan kepada kenderaan mewah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.
Dalam pada itu, Noraini berkata JPJ Perlis mengeluarkan Notis 114 kepada 60 kenderaan perdagangan kerana tiada Slip Pengesahan Kefungsian Speed Limitation Device (SLD) dari 1 Okt hingga semalam.
“JPJ Perlis menyeru semua pemilik kenderaan termasuk kenderaan mewah untuk memastikan dokumen kenderaan sentiasa dikemas kini dan tidak menunggu hingga dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial