Ribut: Seorang Wanita, Murid KAFA Cedera Bumbung Pejabat Penyelaras Dun Sijangkang Runtuh

15/10/2025 09:14 PM

SHAH ALAM, 15 Okt (Bernama) -- Seorang wanita berusia 51 tahun cedera selepas terperangkap di bawah runtuhan bumbung Dewan Wawasan Kampung Medan, Telok Panglima Garang, Banting, dekat sini, yang turut menempatkan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata bumbung dewan berkenaan runtuh susulan kejadian ribut berserta hujan lebat petang tadi.

Beliau berkata dalam kejadian itu, bumbung sebuah premis yang terletak bersebelahan dewan tersebut yang menempatkan surau Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) turut runtuh menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh murid cedera ringan.

“Panggilan kecemasan diterima pada 4.24 petang sebelum sebuah jentera bomba dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, kita dapati seorang mangsa iaitu wanita berumur 51 tahun terperangkap di bawah runtuhan, dengan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan paha namun berada dalam keadaan sedar. Wanita berkenaan berjaya dikeluarkan pada 5.05 petang,” katanya

Ahmad Mukhlis berkata wanita dan murid KAFA yang cedera ringan berkenaan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan