IPOH, 18 Okt (Bernama) -- Sebuah lori membawa muatan melebihi hampir dua kali ganda had dibenarkan ditahan dalam Op Perang Kenderaan Lebih Muatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak di Jalan Batu 15, Lekir-Sitiawan, dekat Seri Manjung, hari ini.
JPJ Perak dalam kenyataan malam ini memaklumkan lori jenis General Cargo itu dikesan membawa muatan seberat 44,800 kilogram (kg), melebihi 20,800 kg atau 86.67 peratus daripada muatan dibenarkan iaitu 24,000 kg.
JPJ memaklumkan pemeriksaan turut mendapati pemandu lori terbabit merupakan warga asing dan tidak memiliki lesen memandu sah.
Berikutan itu, Notis Penahanan Kenderaan dikeluarkan mengikut Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik syarikat serta punca pelanggaran undang-undang tersebut.
“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah aspek keselamatan dan undang-undang jalan raya. Kenderaan yang membawa lebih muatan bukan sahaja membahayakan pengguna lain tetapi turut mempercepatkan kerosakan jalan raya,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPJ, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada Op Perang Kenderaan Lebih Muatan yang dilaksanakan di seluruh negara selaras dengan arahan Ketua Pengarah JPJ Malaysia bagi mengekang aktiviti kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan muatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial