Tiga Lelaki Termasuk Dua Beradik Ditahan Bersama Ganja Bernilai RM153,078

16/10/2025 01:26 PM

BALIK PULAU,  16 Okt (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki termasuk dua beradik dan merampas ganja seberat 49.38 kilogram (kg) bernilai RM153,078 dalam dua serbuan di Pantai Jerejak, di sini dan Sungai Petani, Kedah pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Pulau Pinang telah menjalankan serbuan di Pantai Jerejak pada 9 malam. 

"Dalam serbuan di Pantai Jerejak, polis menahan dua lelaki berusia 33 dan 43 tahun dalam sebuah kereta dan dipercayai sedang menjalankan urus niaga penjualan dadah. Pemeriksaan menemukan 65 ketulan mampat ganja seberat 49.38 kg bernilai RM153,078.

"Berlaku pergelutan antara polis dan dua lelaki berkenaan kerana mereka cuba melarikan diri namun kesemua suspek berjaya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki yang bekerja sebagai nelayan dan berusia 48 tahun, iaitu abang kepada lelaki berusia 43 tahun itu, di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah yang dipercayai dalang sindiket berkenaan.

Sazalee berkata berdasarkan siasatan sindiket itu mendapatkan bekalan ganja dari negara jiran yang dibawa masuk menggunakan jalan darat sebelum diserahkan kepada orang tengah untuk diedarkan kepada sindiket. 

Sindiket itu menjalankan kegiatan pengedaran ganja sejak dua tahun lepas di sekitar Pulau Pinang serta negeri-negeri di wilayah utara dan semua dadah yang dirampas boleh digunakan 98,700 penagih dadah.

Polis turut menyita dua kereta, iaitu Proton Exora dan Nissan Sentra yang kesemuanya bernilai RM23,500.

Semua mereka yang mempunyai dua hingga empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu kini direman tujuh hari hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan