Warga Emas Rugi RM100,000 Terperdaya Skim Bantuan Kerajaan Palsu

22/12/2025 10:09 PM

KUANTAN, 22 Dis (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang warga emas mengalami kerugian RM100,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan bantuan kerajaan palsu pada 18 Dis lepas.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Naysim Bahron berkata mangsa berusia 78 tahun didatangi dua lelaki tidak dikenali di sebuah kedai makan dekat Bera pada Khamis lepas.

“Mangsa kemudian ditawarkan bantuan kerajaan daripada suspek yang kemudian memberikan RM500 kononnya sebagai bantuan daripada kerajaan.

“Susulan itu, suspek terus memperdaya dengan menawarkan untuk memasuki satu program palsu yang kononnya ditawarkan oleh pihak kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nasyim berkata suspek turut memperdayakan mangsa dengan menjanjikan pulangan 20 peratus setiap bulan, jika warga emas itu membuat pembayaran awal RM100,000.

Beliau berkata suspek kemudian telah membawa mangsa ke sebuah bank dan mengeluarkan wang simpanannya dan memberi kepada dua lelaki terbabit, sebelum suspek melarikan diri meninggalkan mangsa di situ.

 Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan usaha mengenal pasti dan mengesan suspek sedang dijalankan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan