Penolong Jurutera MBK Didenda RM16,000 Terima Rasuah RM2,000

26/12/2025 12:34 PM

KUANTAN, 26 Dis (Bernama) -- Seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000 pada 2022.

Hakim Sazlina Safie turut memerintahkan Mohd Yusrizal Md Ledza, 43, dihukum penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mohd Yusrizal didakwa menerima wang masing-masing RM1,000 daripada seorang kontraktor wanita yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya, yang dimasukkan ke dalam akaun bank secara dalam talian. 

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Temerloh pada 7 serta 23 Mac 2022 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman yang setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta keperluan mahkamah memberikan mesej pencegahan supaya kesalahan seumpama itu tidak berulang.

Peguam bela Datuk Zaharman Zainal Abidin bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya berpendapatan kira-kira RM4,200 sebulan, menanggung seorang isteri dan tiga anak berusia antara tiga hingga 12 tahun.

Selain itu, Mohd Yusrizal tidak mempunyai sebarang rekod sabitan lampau, memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan mahkamah sepanjang prosiding serta menzahirkan keinsafan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan