KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Bekas pembantu tadbir kewangan Jabatan Imigresen Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah dengan membatalkan resit rasmi kerajaan bagi denda dan kompaun dikenakan ke atas pelanggan yang melanggar undang-undang.
Che Mohd Azmi Mohd Nor, 40, yang diamanahkan sebagai Juruwang Gred W19 di Bahagian Operasi dan Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bagi urusan transaksi kewangan di kaunter, didakwa melakukan pecah amanah dengan membatalkan 158 resit rasmi kerajaan bagi denda dan kompaun dikenakan ke atas pelanggan yang melanggar undang-undang, menyebabkan kerajaan Malaysia mengalami kerugian RM88,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Jun dan Ogos 2019 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Syamil Othman yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung isteri, lima anak yang masih bersekolah serta ibu selain telah memberi kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin yang menetapkan sebutan kes pada 27 Jan depan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial