MELAKA, 27 Dis (Bernama) -- Dua lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori sampah dan sebuah lori 10 tan membawa muatan ikan di Lebuh AMJ, Paya Rumput di sini awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheng Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Jamian Saleh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 pada 5.42 pagi sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi pada 5.48 pagi, didapati benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori sampah dan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kemalangan itu mengakibatkan dua mangsa daripada lori sampah mengalami kecederaan, masing-masing seorang lelaki warga tempatan berusia 66 tahun dan seorang lelaki warga Nepal berusia 52 tahun.
“Kedua-dua mangsa itu telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian manakala pemandu lori 10 tan berusia 36 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata pasukan bomba telah menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan di atas jalan raya menggunakan satu aliran salur bantu mula air daripada tangki jentera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Operasi dikawal sepenuhnya pada 5.50 pagi dan tamat pada 8.34 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial