KUCHING, 3 Jan (Bernama) -- Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Jan lepas akan memperkukuh kawalan keselamatan dan memastikan penggunaan media sosial yang lebih selamat, khususnya melibatkan golongan bawah umur.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata tanggungjawab keselamatan dalam talian tidak lagi diletakkan sepenuhnya kepada ibu bapa, sebaliknya turut dipikul oleh pengendali platform digital.
“Penguatkuasaan akta ini mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan berbahaya dan ancaman keselamatan yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
“Kerjasama semua pihak ini perlu bagi mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan terkawal untuk generasi muda,” katanya pada sidang media sempena Bengkel Pembangunan Kepimpinan Untuk Usahawan Wanita Dayak di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata selain pengendali, ibu bapa dan masyarakat terus kekal memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan akta itu dan berharap keselamatan kanak-kanak dalam talian dapat dipertingkatkan secara menyeluruh dan berterusan.
Pada 1 Jan lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan penguatkuasaan ONSA yang menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
Akta itu terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun tidak terpakai kepada pengguna individu.
Terdahulu, Nancy berkata Pertubuhan Rangkaian Pemerkasaan dan Kelestarian Wanita Kuching, dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Dayak akan melaksanakan Program Perantis-Pendaya iaitu bengkel pembangunan kepimpinan yang dirangka khusus bagi memperkasa usahawan wanita Dayak.
Beliau berkata ia antara inisiatif strategik di bawah Perantis Program Pendaya yang juga sebahagian daripada inisiatif Perantis oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Program Perantis memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, keusahawanan dan pemerkasaan sosioekonomi wanita secara inklusif dan mampan.
“Program ini akan dilaksanakan pada 12 hingga 13 Jan ini di Dayak Chamber, Kuching, melibatkan 50 usahawan wanita Dayak, termasuk usahawan baharu dan berpengalaman, pemilik perniagaan keluarga, pemula niaga serta perusahaan berasaskan komuniti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial