KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Polis menumpaskan 97 kes penipuan dalam talian dan merampas lebih RM5 juta dalam operasi bersepadu yang dijalankan sepanjang tahun lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata sebanyak 1,070 individu ditahan terdiri daripada 600 warga tempatan dan 470 warga asing, selain 2,845 unit peralatan telekomunikasi yang digunakan untuk menghubungi mangsa dirampas.
Beliau berkata operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur bersama JSJK Bukit Aman itu dijalankan bagi membanteras kegiatan penipuan pusat panggilan dalam talian yang menyasarkan mangsa di dalam dan luar negara.
“Kesemua tangkapan dibuat di beberapa lokasi sekitar ibu negara membabitkan premis kediaman yang dijadikan pusat operasi sindiket secara haram dan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM5,067,818,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata siasatan awal mendapati semua individu yang ditahan adalah pekerja sindiket dan terlibat dalam pelbagai modus operandi penipuan termasuk tawaran pekerjaan, pelaburan mata wang kripto tidak wujud serta pelbagai bentuk penipuan lain.
“Kesemua suspek telah didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan penipuan dalam talian, selain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 berkaitan pelanggaran dokumen perjalanan bagi warga asing,” katanya.
Beliau berkata polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras sindiket penipuan dalam talian sepenuhnya dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan boleh salurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial