Polis Berjaya Kesan Pemilik Kenderaan Asing Tutup Nombor Pendaftaran Isi RON95

04/01/2026 05:50 PM

JOHOR BAHRU, 4 Jan (Bernama) -- Polis berjaya mengesan pemilik kenderaan asing yang didakwa mengisi minyak RON95 dengan taktik menutup nombor pendaftaran.

Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata individu berstatus penduduk tetap (PR) itu kini berada di Singapura dan telah dihubungi untuk hadir segera ke bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kita ingin menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mengubah atau cuba menyembunyikan nombor pendaftaran kenderaan kerana menyalahi undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial memaparkan tindakan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi RON95, yang berjaya dirakam seorang individu.

Semalam, media melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas sebuah stesen minyak, susulan aduan dan maklumat yang tular.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo dilaporkan berkata tindakan diambil di bawah Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu larangan penjualan minyak Petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan