BATU PAHAT, 5 Jan (Bernama) -- Polis mengesahkan penemuan mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan di dalam sebuah tong sampah di kawasan tandas wanita, hentian sebelah Yong Peng Utara, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 3 petang, sebelum sepasukan anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal polis yang dibantu oleh pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Yong Peng, mengesahkan penemuan seorang bayi lelaki cukup sifat, masih bertali pusat dan uri, dalam keadaan tidak bernyawa.
“Bayi berkenaan ditemukan dibaluti dengan sehelai baju dan diletakkan di dalam sebuah bakul sampah di kawasan tandas wanita hentian sebelah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrulanuar Mushaddat berkata mayat bayi tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat bagi tujuan bedah siasat dan pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti punca kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Polis Kontinjen Johor menerusi talian 07-221 2999 atau IPD Batu Pahat menerusi talian 07-434 3999.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial