Pesara Rugi Lebih RM400,000 Diperdaya Sindiket Penipuan

06/01/2026 02:20 PM

DUNGUN, 6 Jan (Bernama) -- Seorang pesara kerugian RM420,410.48 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai wakil Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan polis, November lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata lelaki berusia 70 tahun itu menerima panggilan pada 26 Nov mendakwa namanya telah mendaftar meter TNB di Pahang, yang dinafikan oleh mangsa.

“Panggilan telefon kononnya disambungkan kepada seorang sarjan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang sebelum ke Bukit Aman dengan mangsa dimaklumkan namanya mempunyai rekod pengubahan wang haram dan perlu berhubung dengan dua pegawai polis untuk menyelesaikan kes.

“Mangsa diminta memindahkan kesemua wangnya bagi tujuan pengesahan yang dilakukan menerusi 11 transaksi ke tujuh akaun bank selain menyerahkan kad bank serta nombor pin kepada dua individu yang menyamar sebagai pegawai polis di lokasi berhampiran rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maizura berkata mangsa berasa ditipu apabila wang itu tidak dipulangkan seperti dijanjikan, menyebabkannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun di sini semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan